Monday, September 30, 2013

Kepentingan Sebuah Kemerdekaan




MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!... Laungan  inilah yang seringkali kita kedengaran apabila tibanya 31 OGOS setiap tahun. Tarikh ini merupakan tarikh keramat untuk negara Malaysia iaitu tarikh kemerdekaan negara. Apa itu merdeka?. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, dan lain-lain dan lepas daripada tebusan, tuntutan dan berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Kemerdekaan pula bermaksud membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.

     Menyingkap kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak tahun 1511 hingga Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini menempuh pelbagai rintangan dalam usaha untuk memperoleh kemerdekaan. Ramai tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah berjuang dan mereka sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai cagaran demi membela anak bangsa dan tanah tumpah darah mereka sendiri.

     Kemerdekaan negara mempunyai beberapa kepentingan terutamanya kepada individu, masyarakat dan juga negara. Kepentingan individu merupakan satu ruang skop yang kecil tetapi memberikan kesan yang mendalam terhadap negara. Setiap individu tanpa mengira umur serta pangkat dan darjat perlu menghayati kepentingan sebenar kemerdekaan. Sekiranya setiap individu menghayati setiap semangat juang yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan, sudah pasti perkara ini boleh memberikan satu suntikan semangat kepada setiap diri individu untuk memberikan sumbangan serta bakti kepada negara yang tercinta ini.

     Nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini, setiap individu bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu risau terutamanya bagi mereka yang masih belajar sama ada di bangku sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Golongan seperti ini bebas untuk bersuara dalam mengeluarkan pendapat. Setiap pendapat atau buah fikiran yang dinyatakan itu merupakan satu proses pembelajaran dan sekiranya pendapat itu salah sekali pun, tidak sewajarnya mereka dihukum. Disebabkan inilah pentingnya ilmu pengetahuan kepada setiap individu kerana dengan adanya ilmu pengetahuan, kita boleh mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita dalam membangunkan negara kita ini tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak asing.