Monday, September 30, 2013

Kepentingan Sebuah Kemerdekaan




MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!... Laungan  inilah yang seringkali kita kedengaran apabila tibanya 31 OGOS setiap tahun. Tarikh ini merupakan tarikh keramat untuk negara Malaysia iaitu tarikh kemerdekaan negara. Apa itu merdeka?. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, dan lain-lain dan lepas daripada tebusan, tuntutan dan berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Kemerdekaan pula bermaksud membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.

     Menyingkap kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak tahun 1511 hingga Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini menempuh pelbagai rintangan dalam usaha untuk memperoleh kemerdekaan. Ramai tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah berjuang dan mereka sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai cagaran demi membela anak bangsa dan tanah tumpah darah mereka sendiri.

     Kemerdekaan negara mempunyai beberapa kepentingan terutamanya kepada individu, masyarakat dan juga negara. Kepentingan individu merupakan satu ruang skop yang kecil tetapi memberikan kesan yang mendalam terhadap negara. Setiap individu tanpa mengira umur serta pangkat dan darjat perlu menghayati kepentingan sebenar kemerdekaan. Sekiranya setiap individu menghayati setiap semangat juang yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan, sudah pasti perkara ini boleh memberikan satu suntikan semangat kepada setiap diri individu untuk memberikan sumbangan serta bakti kepada negara yang tercinta ini.

     Nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini, setiap individu bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu risau terutamanya bagi mereka yang masih belajar sama ada di bangku sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Golongan seperti ini bebas untuk bersuara dalam mengeluarkan pendapat. Setiap pendapat atau buah fikiran yang dinyatakan itu merupakan satu proses pembelajaran dan sekiranya pendapat itu salah sekali pun, tidak sewajarnya mereka dihukum. Disebabkan inilah pentingnya ilmu pengetahuan kepada setiap individu kerana dengan adanya ilmu pengetahuan, kita boleh mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita dalam membangunkan negara kita ini tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak asing.








     Kemerdekaan juga memberikan kepentingan kepada masyarakat. Sebagai masyarakat zaman moden yang tidak pernah merasakan situasi sebenar sebelum kemerdekaan dicapai, sudah pasti kita tidak mampu menandingi semangat juang dan semangat patriotik yang ada dalam diri setiap pejuang tanah air kita dahulu. Buktinya ialah kita boleh lihat sendiri bagaimana sambutan yang diberikan oleh golongan belia masa kini ketika sambutan kemerdekaan negara dilakukan. Mereka lebih bersikap liar dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti lumba haram, pesta seks, dan sebagainya. Perkara ini sepatutnya tidak wajar dilakukan oleh anak muda sekarang sekiranya mereka betul-betul menghayati dan mempunyai semangat kemerdekaan yang sebenar.

     Menjadi tanggungjawab masyarakat generasi moden hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang kita warisi ini akan berada dalam keadaan yang amat rapuh kerana negara penjajah boleh menjajah kita semula walaupun bukan daripada segi fizikal tetapi pemikiran dan tingkah laku masyarakat sekarang sudah pun dijajah semula. Kita boleh lihat bagaimana corak kehidupan masyarakat sekarang lebih menunjukkan kearah budaya barat dan tidak melambangkan ciri-ciri ketimuran yang sepatutnya dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat. Sebagai contoh, cara pemakaian, pengaruh budaya Barat seperti Punk, Black Metal, homoseksual, muzik yang melalaikan dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan budaya Barat telah meresap ke dalam jiwa anak muda sekarang tanpa kita sedari ianya merupakan penjajahan secara halus yang dilakukan negara Barat. Disebabkan inilah pentingnya ilmu pengetahuan kerana dengan adanya ilmu pengetahuan, kita boleh menangkis segala masalah dan mampu untuk berfikir secara rasional mengenai perkara yang patut kita lakukan.

     Selain daripada itu, Jika kita lihat fenomena pada hari ini, kebanyakan masyarakat kita telah lupa untuk menghargai kemerdekaan tersebut. Mereka telah lupa akan titik peluh datuk nenek kita memperjuangkan kemerdekaan. Disebabkan sikap segelintir pihak ini, negara kita telah hampir dijajah sekali lagi pada tahun 1997. Kemerdekaan sesebuah negara adalah milik dan kuasa rakyat negara tersebut. Orang luar tidak ada kuasa untuk menentukan hala tuju negara kita. Kita boleh lihat bagaimana sesebuah negara di dunia ini tumbang, bukannya daripada faktor bangsa asing tetapi ianya berpunca daripada pembelot di dalam negara sendiri.

     Dalam usaha memajukan negara setelah mencapai kemerdekaan, pemimpin-pemimpin negara kita yang lalu telah meletakkan asas kemerdekaan yang utuh. Contohnya Bapa Kemerdekaan Negara iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berjaya mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan dibantu juga oleh Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak, dan kesinambungan ini diteruskan dengan Bapa Perpaduan iaitu Allahyarham Tun Hussien Onn. Asas pemerintahan yang dilaksanakan oleh Tun Hussien Onn telah diperkukuhkan lagi dengan pengasas Wawasan 2020 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Bapa Pemodenan Negara. Pada era pemerintahan Perdana Menteri ke-4 inilah negara Malaysia telah maju dan berkembang dengan pesatnya sehinggakan negara Malaysia telah dikenali di serata dunia. Pemerintahan negara diteruskan lagi  dibawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang digelar sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan dan sekarang pentadbiran negara telah diketuai oleh Najib Abd Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 sehingga sekarang.





     Setiap pemimpin negara ini sejak kemerdekaan negara yang pertama, negara telah banyak membangun dan mendapat tempat di hati rakyat luar negara daripada segi aspek ekonomi, pembangunan, pelancongan dan lain-lain. Jelas sekali usaha yang dilakukan setiap pemimpin ini adalah untuk membuktikan negara kita ini boleh membangun dan maju walaupun tanpa campur tangan pihak luar.

     Secara tuntasnya, kita sebagai rakyat Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan lebih dari separuh abad ini, perlu berada dalam keadaan bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa merdeka. Oleh itu, segala jurang pembangunan, ekonomi, politik dan sosial dalam kalangan kaum di Malaysia ini perlulah dieratkan dan diperkukuhkan berteraskan Rukun Negara agar kita semua boleh menikmati sebuah kemerdekaan yang sebenar. Perpaduan kaum yang telah terbina sejak sekian lama ini perlulah diteruskan dan disemai supaya keharmonian negara terus berada dalam keadaan yang harmoni dan ini boleh mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh kepada negara lain sekaligus dapat mempertahankan negara daripada dijajah semula.

     Malangnya kita boleh lihat sekarang bahawa segala kesenangan yang dinikmati oleh masyarakat moden sekarang ini telah menjadikan mereka sebagai generasi yang kini tidak menghargai erti perjuangan sebenar kemerdekaan sehinggakan ada yang sanggup menghina bendera Malaysia dan ada yang cuba untuk menjatuhkan negara kita sendiri demi kepentingan peribadi. Ini semua berpunca daripada generasi kini yang buta sejarah dan hanya mengetahui perihal sejarah kemerdekaan daripada catitan sejarah dan kemudian terus menikmati hasil daripada perjuangan para perjuang kemerdekaan negara, tetapi tidak pernah merasai sendiri betapa sukarnya perjuangan yang telah dilakukan oleh pejuang tanah air kita. Golongan inilah yang lalai dan dengan mudah mencalarkan keharmonian dan kedaulatan negara untuk sesuatu tujuan tanpa memikirkan kepentingan ramai.

     Seorang pemimpin pernah berkata, “Tidak sayangkah kita kepada negara yang kita bangunkan dengan bersusah payah tetapi hendak dimusnahkan dalam sekelip mata?"

     Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab anak-anak muda untuk membina dan membentuk negara ini kerana merekalah yang akan memimpin negara ini pada masa akan datang. Jatuh bangunnya negara pada masa akan datang bergantung pada anak muda sekarang dan sudah pasti ianya akan menjadi satu tigas yang sangat berat dan sudah tentu ia tidak akan mampu dipikul jika golongan anak muda sekarang ini tidak mempunyai persediaan yang mantap dan rapi dari sekarang. Sayangilah negara kita, hormatilah pemimpin kita, kenangilah para pejuang kemerdekaan negara kita dan hargailah nikmat kemerdekaan yang kita telah kecapi ini.

                                                                           (1165 patah perkataan )












Hayatilah lirik lagu ini.. :



WARISAN



ANAK KECIL MAIN API
TERBAKAR HATINYA YANG SEPI
AIR MATA DARAH BERCAMPUR KERINGAT
BUMI DIPIJAK MILIK ORANG

NENEK MOYANG KAYA RAYA
TERGADAI SELURUH HARTA BENDA
AKIBAT SENGKETA SESAMALAH KITA
CINTA LENYAP DI ARUS ZAMAN

INDAHNYA BUMI KITA INI
WARISAN BERKURUN LAMANYA
HASIL MENGALIR KE TANGAN YANG LAIN
PERIBUMI MERINTIH SENDIRI

MASA DEPAN SUNGGUH KELAM
KAN LENYAP PERISTIWA SEMALAM
TERTUTUPLAH HATI TERKUNCI MATI
MARUAH PERIBADI DAH HILANG

KINI KITA CUMA TINGGAL KUASA
YANG AKAN MENENTUKAN BANGSA
BERSATULAH HATI BERSAMA BERBAKTI
PULIH KEMBALI HARGA DIRI

KITA SUDAH TIADA MASA
MAJULAH DENGAN MAHA PERKASA
JANGANLAH TERLALAI TERUSKAN USAHA
MELAYUKAN GAGAH DI NUSANTARA










2 comments:

  1. Hai ulasan awak sengat membantu saya , terima kasih 🥰🥰

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete