Assalamualaikum para pembaca blog sekalian. kali ini saya nak berkongsi entri mengenai keracunan makanan. Seperti yang kita tahu, baru-baru ini kita telah di kejutkan dengan satu kes keracunan makanan yang menyebabkan tiga orang maut, tiga dalam keadaan kritikal manakala 59 orang yang lain telah dimasukkan ke hospital ekoran keracunan makanan selepas menghadiri majlis perkahwinan di salah satu kawasan di Negeri Kedah.
Mengenai keracunan makanan ini, adakah kita tahu apa maksud sebenar keracunan makanan? Keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang telah tercemar.
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan keracunan makanan terjadi antaranya ialah :
1. Bakteria atau racun (toksin) dan virus.
2. Bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai.
3. Tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasil laut bercengkerang seperti kekerang.
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu telah atau mungkin mengalami keracunan makanan antara tanda-tanda tersebut ialah rasa loya, cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut, sakit kepala dan berpeluh atau demam.
Keracunan makanan boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal. Ia juga boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan.
Terdapat beberapa sebab terjadinya keracunan makanan. Antara sebabnya ialah :
1. Makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama atau lebih dari 4 jam.
2. Makanan tidak dimasak dengan sempurna.
3. Makanan tidak disimpan dengan baik. Comtohnya makanan yang mentah telah disimpan bersama dengan makanan yang telah dimasak.
4. Makanan yang telah sejuk tidak dipanaskan dengan sempurna.
5. Kaedah penyediaan makanan yang tidak bersih.
Dengan dinyatakan sebab-sebab keracunan makanan ini, kita perlulah mengambil langkah yang betul untuk mengelakkan diri kita daripada terlibat dengan keracunan makanan. Kita perlulah sentiasa menjaga kebersihan diri kita dengan betul contohnya seperti membasuh tangan dengan bersih sebelum makan. Sekiranya anda tukang masak atau selalu masak untuk keluarga, pastikan memasak dengan sempurna terutama sekali daging, ayam, telur dan makanan laut. Pastikan air dan bahan mentah yang digunakan itu bersih sebelum memasak. Disebabkan inilah agama Islam amat mementingkan aspek kebersihan dalam pemakanan. Konsep Halalan Toyyiban perlu dipraktikkan dalam setiap aktiviti terutama yang melibatkan makanan.
Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan kita melalui cara pemakanan kita supaya kesihatan kita terjamin dan memudahkan kita untuk melakukan urusan harian kita dengan lancar.
No comments:
Post a Comment