Wednesday, October 16, 2013

" Keracunan Makanan "

   Assalamualaikum para pembaca blog sekalian. kali ini saya nak berkongsi entri mengenai keracunan makanan. Seperti yang kita tahu, baru-baru ini kita telah di kejutkan dengan satu kes keracunan makanan yang menyebabkan tiga orang maut, tiga dalam keadaan kritikal manakala 59 orang yang lain telah dimasukkan ke hospital ekoran keracunan makanan selepas menghadiri majlis perkahwinan di salah satu kawasan di Negeri Kedah.

   Mengenai keracunan makanan ini, adakah kita tahu apa maksud sebenar keracunan makanan? Keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang telah tercemar.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan keracunan makanan terjadi antaranya ialah :
   1. Bakteria atau racun (toksin) dan virus.
   2. Bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai.
  3. Tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasil laut bercengkerang seperti kekerang.

   Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu telah atau mungkin mengalami keracunan makanan antara tanda-tanda tersebut ialah rasa loya, cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut, sakit kepala dan berpeluh atau demam.

   Keracunan makanan boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal. Ia juga boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan.

Terdapat beberapa sebab terjadinya keracunan makanan. Antara sebabnya ialah :
     1. Makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama atau lebih dari 4 jam.
     2. Makanan tidak dimasak dengan sempurna.
     3. Makanan tidak disimpan dengan baik. Comtohnya makanan yang mentah telah disimpan bersama         dengan makanan yang telah dimasak.
     4. Makanan yang telah sejuk tidak dipanaskan dengan sempurna.
     5. Kaedah penyediaan makanan yang tidak bersih.
   
   Dengan dinyatakan sebab-sebab keracunan makanan ini, kita perlulah mengambil langkah yang betul untuk mengelakkan diri  kita daripada terlibat dengan keracunan makanan. Kita perlulah sentiasa menjaga kebersihan diri kita dengan betul contohnya seperti membasuh tangan dengan bersih sebelum makan. Sekiranya anda tukang masak atau selalu masak untuk keluarga, pastikan memasak dengan sempurna terutama sekali daging, ayam, telur dan makanan laut. Pastikan air dan bahan mentah yang digunakan itu bersih sebelum memasak. Disebabkan inilah agama Islam amat mementingkan aspek kebersihan dalam pemakanan. Konsep Halalan Toyyiban  perlu dipraktikkan dalam setiap aktiviti terutama yang melibatkan makanan.

   Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan kita melalui cara pemakanan kita supaya kesihatan kita terjamin dan memudahkan kita untuk melakukan urusan harian kita dengan lancar.

Friday, October 4, 2013

" Budi Bahasa Melambangkan Keperibadian Diri "

Assalamualaikum semua blogger sekalian...

Sudah pasti semua orang tahu apa itu budi bahasa? Perkataan ini sudah acap kali kita kedengaran semenjak kita kanak-kanak lagi sehinggakan negara kita ini pernah mengadakan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita. Berapa ramaikah antara kita yang betul-betul memahami apa maksud sebenar budi bahasa? Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal dan kebijaksanaan serta perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata serta perbuatan seseorang. 

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sikap yang bersopan-santun dan berbudi bahasa. Perkara ini amat diambil berat oleh masyarakat Melayu. Amalan budi bahasa ini juga bukan sahaja penting dalam masyarakat Melayu, malahan dalam semua masyarakat sememangnya mengajar kita untuk hidup dengan cara yang lebih baik. Tujuan kita mengamalkan cara hidup dengan berbudi bahasa ini adalah untuk mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni, saling bantu-membantu, hormat-menghormati, berkasih sayang sesama insan yang lain.

Baru-baru ini, kita dihebohkan dengan satu kejadian dimana seorang isteri kepada pemain bola sepak negara telah memaki hamun dan menendang kaki seorang pakcik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah lapangan trbang di negara ini. Dalam video yang telah heboh di laman sosial seperti facebook dan youtube, jelas sekali kita boleh melihat bagaimana seorang perempuan yang masih muda telah memaki hamun seorang pakcik yang telah berusia. Perbuatan seperti ini jelas menunjukkan bahawa perempuan itu tidak mempunyai budi bahasa dan perkara ini telah heboh satu Malaysia dan masyarakat banyak yang menuding jari mengatakan bahawa wanita itu yang brsalah dan tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati seorang yang lebih tua daripadanya. 

Kita sebagai masyarakat yang berbudi bahasa perlulah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Walaupun kita berada di pihak yang benar, kita tidak boleh menjatuhkan maruah orang lain yang lebih tua daripada kita terutama di khalayak ramai. Kita perlu selesaikan segala masalah yang dihadapi itu dengan cara yang lebih profesional dan tidak perlu untuk memaki atau menghina sesiapa sahaja. Cuba kita bayangkan pakcik guard itu merupakan ayah kita, apakah perasaan kita setelah dia dimarahi, dimaki dan dihina di hadapan khalayak ramai? Sudah pasti kita marah. Kalau kita boleh menghina orang lain tidak mustahil orang lain boleh menghina keluarga kita. Hidup ini umpama putaran roda, sekajp kita berada di atas dan kita juga akan berada di bawah. Kita hormati orang lain dan semestinya orang lain akan hormati kita.

Ingatlah bahawa budi bahasa melambangkan ketinggian ilmu agama dan ketakwaan seseorang. Tiada budi bahasa bermaksud bangsa semakin hampir menuju ke arah kehancuran dalam segi nilai moral dan ilmu agama. Marilah kita berusaha agar kita mampu untuk berbicara dengan menggunakan bahasa yang sopan agar generasi akan datang tidak menerima akhlak yang tidak baik hasil daripada contoh perlakuan kita pada masa sekarang. 

ingat lah BUDI BAHASA MELAMBANGKAN KEPERIBADIAN DIRI




Monday, September 30, 2013

Kepentingan Sebuah Kemerdekaan




MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!... Laungan  inilah yang seringkali kita kedengaran apabila tibanya 31 OGOS setiap tahun. Tarikh ini merupakan tarikh keramat untuk negara Malaysia iaitu tarikh kemerdekaan negara. Apa itu merdeka?. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, dan lain-lain dan lepas daripada tebusan, tuntutan dan berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Kemerdekaan pula bermaksud membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.

     Menyingkap kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak tahun 1511 hingga Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini menempuh pelbagai rintangan dalam usaha untuk memperoleh kemerdekaan. Ramai tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah berjuang dan mereka sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai cagaran demi membela anak bangsa dan tanah tumpah darah mereka sendiri.

     Kemerdekaan negara mempunyai beberapa kepentingan terutamanya kepada individu, masyarakat dan juga negara. Kepentingan individu merupakan satu ruang skop yang kecil tetapi memberikan kesan yang mendalam terhadap negara. Setiap individu tanpa mengira umur serta pangkat dan darjat perlu menghayati kepentingan sebenar kemerdekaan. Sekiranya setiap individu menghayati setiap semangat juang yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan, sudah pasti perkara ini boleh memberikan satu suntikan semangat kepada setiap diri individu untuk memberikan sumbangan serta bakti kepada negara yang tercinta ini.

     Nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini, setiap individu bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu risau terutamanya bagi mereka yang masih belajar sama ada di bangku sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Golongan seperti ini bebas untuk bersuara dalam mengeluarkan pendapat. Setiap pendapat atau buah fikiran yang dinyatakan itu merupakan satu proses pembelajaran dan sekiranya pendapat itu salah sekali pun, tidak sewajarnya mereka dihukum. Disebabkan inilah pentingnya ilmu pengetahuan kepada setiap individu kerana dengan adanya ilmu pengetahuan, kita boleh mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita dalam membangunkan negara kita ini tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak asing.