urm.. arini aku nk kongsikan cerita yang aku baca dlm MASTIKA edisi NOVEMBER 2012 mukasurat 16-22....
kisah ni x taw la btl ke x.. itu aku x pasti... tp motif utama yg aku nk kongsikan dr cerita ni ialah mengenai PERANAN ORG ISLAM TERUTAMA YG ADA JAWATAN... terhadap org yg baru nk mengenali ISLAM.. sedar atau tak sedar ramai antara org2 yg patot bertanggungkawab untuk ISLAM ni semakin " berlagak angkuh "dan hanyut dgn jawatan yg ada dan merasakan mereka tu sentiasa betul..
ok jom.. aku nk kongsikan dgn korang semua.. baca n nilai la sendiri yew..
MEMBAWA HATIKU YANG LARA:
Pada zaman awal 1990-an, berkahwin muda dalam usia 20-an bukan benda pelik. Malangnya, dalam masa pertunangan, badai datang melanda. Tanpa saya sedar, kekasih hati saya pula akhirnya memutuskan hubungan pertunangan, serentak menikah dengan lelaki lain sekampung dengannya.
Hari perkahwinan mereka adalah serentak dengan hari beliau memutuskan pertunangan saya. Ini mengejutkan saya dan keluarga. Bab saman-menyaman zaman itu tidak berapa popular kecuali menerima dengan hati terluka.
Saya berasa amat-amat kecewa, perkara ini berlaku pada hari Ahad. Saya keluar rumah sewa dengan motosikal sport 100 ( kenderaan paling ampuh memikat awek masa itu ) dengan membawa hati yang luka amat sangat, dan saya melalui suatu kawasan gereja di bandar Ipoh, pada masa itu pukul 12.00 tengah hari, dan saya dengan hati yang luka, dengan selamba memasuki kawasan gereja tersebut.
Sesampai saya di situ, saya dengan perasaan tidak berapa nak stabil, duduk di salah satu bangku dalam gereja tersebut. Pada masa itu mereka baru habis melakukan servis keagamaan, berbaki beberapa individu sedang membuat pembersihan.
Yang peliknya, mereka tidak pula menghalau saya atau mereka memandang pelik kepada saya, mereka hanya tersenyum malah meneruskan tugas mereka.
Di hujung dewan tersebut, seorang paderi dengan pakaian rasminya, sekadar tersenyum melihat saya dan beliau juga tidak berkata apa-apa.
Saya dengan berpakaian jaket motor, berlunjur di atas kerusi panjang di dalam gereja tersebut sambil melayan perasaan, secara jujur saya merasa suatu penerimaan oleh mereka yang berada di situ.
Seketika kemudian, saya dihampiri oleh paderi yang mengetuai gereja tersebut saya kira, hampir kepada saya dan duduk di sebelah saya, lalu tangannya diletakkan di atas paha saya, seraya berkata " Selamat datang ke rumah penyelamat jiwa manusia, anakku...!"
Saya tersentak, bukan saya tersentak dengan tegurannya, tetapi dengan gaya beliau mendekati saya, dengan wajah tersenyum, Pengharapan, dan bersahaja serta baik dan peramah.
Kali terakhir saya ditegur begitu sekali dengan baik dan peramah adalah daripada kumpulan al-Arqam sewaktu mereka mula berdakwah.
Seterusnya beliau berkata " Rumah ini sentiasa terbuka untuk anda, dataglah pada bila-bila masa, rumah ini tidak menolak jiwa yang kusut, kerana Jesus itu penyelamat kepada kita semua... duduklah dulu, nanti kita berbual lagi," katanya sambil menepuk belakang saya dengan lembut, beliau bangun dan pergi ke arah suatu sudut yang saya kira bilik beliau.
Saya terus melayan peraaan saya di dalam gereja itu, saya tidaklah melayan cross yang ada, tetapi memikirkan tentang sikap tunang saya.
Mungkin Mastika tertanya-tanya, kenapa tidak ke Masjid???
Jawapannya, hati yang kusut tidak peduli apa pun kecuali mengikut kata hati.
CINTAKU MELISA
Berbalik kepada paderi tersebut, setengah jam kemudian beliau datang lagi tetapi bersama seorang gadis Cina yang saya kira sebaya saya dan berkata " berbuallah dengan gadis ini, namanya Melisa... "
Watak Melisa ini adalah seorang gadis Tionghua, beliau duduk menemani saya dan mengajak saya berbual di taman kecil di tepi gereja.
Perbualan kami berkisarkan tentang dirinya dan diri saya. Beliau lansung tidak menyentuh tentang apa yang ada dalam fikiran saya, cuma diakhir perbualan beliau memberikan nombor telefon rumah beliau ( tahun 90-an telefon bimbit hanyalah untuk golongan berada ). Beliau meminta saya menghubunginya pada bila-bila masa, tak kira waktu.
Orang frust macam saya ini, mestilah perlukan teman, malam itu juga saya telefon Melisa menggunakan telefon public. Berbual dengan Melisa seolah-olah satu talian hayat untuk diri saya.
Kami berbual hampir setiap hari dan hubungan itu pula akhirnya membawa kepada penemuan makan malam, satu perkara yang amat menarik hati saya, beliau tidak kisah naik motor dengan saya, malah bila ambil depan rumahnya, ibu bapa beliau juga tidak kisah, malah bersikap amat baik kepada saya.
Untuk pengetahuan, Melisa dan keluarganya adalah pekerja sukarelawan untuk gereja yang saya kunjungi itu.
Hubungan yang berlarutan membuahkan rasa cinta kepada Melisa, malah saya ada beberapa kali membawa Melisa balik ke kampung halaman saya, dan beliau amat menghormati ibu bapa saya, dan saya kira saya tidaklah bertepuk sebelah tangan, dan saya jugalah yang mengambil, menghantar Melisa ke gereja setiap hujung minggu atau pada waktu malam jika kereka ada aktiviti.
Melisa tidak pernah sekali-kali mengajak saya menemani beliau di dalam gereja, dan hanya sekadar meminta saya menunggu di luar gereja atau duduk di dalam dewan gereja di bahagian belakang.
" DAH TAK MAKAN B*B* KE? "
Kemuncaknya, selama lima hingga tujuh bulan saya dilayan dengan baik oleh Melisa, keluarganya dan paderi gereja tersebut. Saya mula rasa terhutang budi kepada mereka dan seolah-olah tidak mahu berjauhan lagi dengan Melisa.
Melisa juga tidak keberatan untuk mengenali serta mempraktikkan budaya melayu. Perkara yang meruntun hati saya adalah Melisa mula memakai baju kurung ke gereja.
Nah...! Rasakan bagaimana perasaan anda jika orang yag anda sayang begitu, walaupun berlainan agama. Itu tidak termasuk pula sikap baik paderi dan ibu bapanya.
Di gereja tersebut, mereka sedikit demi sedikit memberi saya tugas, mula-mula untuk menyusun bangku, kemudian aktiviti membersihkan gereja bersama-sama, kemudian membuat service charity kepada golongan kurang upaya ( saya tak jumpa pejabat agama atau baitul mal buat service chariti begini kecuali NGO untuk golongan gelandangan sekitar Chow Kit dewasa ini ), dan hampir semua tetamu gereja mula mengenali saya, dan mula memanggil saya Samuel, hingga saya merasakan mereka ini adalah sebahagian dari keluarga saya. Mereka menghormati saya dan amat mengambil berat tentang saya.
Pada suatu hari, bapa Melisa menghampiri saya dan bercakap tentang masa depan Melisa dan kesanggupan beliau menerima saya sebagai anak, pada hemat saya, beliau sanggup melepaskan Melisa untuk bersama saya dan memberi kebenaran Melisa untuk memeluk agama Islam, beliau memang tidak menghalang.
Dengan semangat berkobar-kobar saya melakukan inisiatif sendiri, pergi ke pejabat agama dan bertemu dengan seorang ustaz, saya membawa Melisa sendiri ke situ, kami dibawa ke bilik temu duga.
Soalan pertama ustaz ( saya fikir ustaz sebab pakai songkok ) " ini nak kahwin dengan orang Cina ni, dia dah tak makan b*b* lagi ke? "
Masya-Allah! Itu soalan yang keluar dari mulut seorang kakitangan pejabat agama Islam! Melisa tertunduk, tetapi kemudian menjawab " Tak semua orang Cina makan khinzir, ustaz! "
Soalan kedua ustaz " Ni nak masuk Islam sebab nk kahwin, nanti kalau dah kahwin, lepas tu ada masalah awak masuk cina balik! "
Allahuakbar! Soalan apa benda ni? merah telinga saya apabila mendapati dua perbezaan antara pejabat agama yang mana saya anuti dengan layanan semasa saya di gereja. Saya tak tahu apa perasaan dan gambaran Melisa pada Islam ketika itu.
Di pendekkan cerita, ustaz itu berkata " Awak berdua datang balik, isi borang ini, buat fotostat IC, bawa saksi! "
Kami berdua beredar, sambil mata mengerling, beberapa orang kakitangan tengah bersembang dan baca akhbar. Selang beberapa hari, saya bawa borang, bersama dengan ibu bapa Melisa, ibu bapa saya sebagai keluarga angkat Melisa, menyerahkan borang, kononnya, bolehlah buat pengucapan dua kalimah syahadah...
Saudara tau apa berlaku? Tertangguh lagi sebab tinggal PAR ( pekerja am ) aje dalam ofis, yang lain dah keluar makan, masa tu baru pukul 11.30 pagi. Pukul 3.00 petang baru nampak batang hidung bebrapa orang kakitangan, tetapi belum boleh buat sebab pegawai yang patut uruskan fail saya, tak balik ofis lagi... ( mungkin terus balik rumah agaknya. )
Kami balik. Melisa sedikit pun tidak kecewa malah tersenyum manis pada saya , hanya dia berkata " jomlah kita ke gereja! "
Saya mengikuti beliau sesampai di gereja, Melisa menerangkan " Di dalam agama Kristian, nak masuk agama ini tidak perlu borang, malah ini boleh dilakukan kemudian, kami tidak memaksa dan kami tidak juga bersikap kasar kerana kami percaya Jesus, adalah penyelamat.
" saya mahu masuk agama Islam, kerana saya tahu, Islam juga adalah agama kebenaran tetapi tengoklah apa yang berlaku tadi. saya masuk Islam kerana saya sayang pada awak, awak baik dan awak juga seorang yang bertoleransi sesuai dengan agama Kristian . "
" saya tidak pernah berjumpa dengan orang Melayu yang menerima saya seadanya. Tapi saya tak fikir saya akan teruskan niat saya untuk memeluk agama Islam dengan apa yang saya lihat tadi, tetapi hati dan tangan saya selalu terbuka untuk menerima awak, jika awak memeluk agama Kristian, dan saya yakin awak melihat kasih sayang yang lebih mendalam daripada apa yang ada dalam agama awak! "
Seperti halilintar menusuk ke jiwa! Ya Allah! hanya satu karenah birokrasi, saya telah terlepas satu jiwa yang boleh diselamatkan.
Saya menggigil. Ya, saya sayangkan Melisa. Namun, saya juga tidak akan memilih untuk selain daripada akidah Islam. melisa terpaksa saya tinggalkan dengan penuh keluh kesah di Gereja dan saya tahu beliau juga begitu.
Tetapi, agama Kristian ini tidak mempunya birokrasi, gereja mereka terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira apa jenis golongan, dan mereka mengikut sepenuhnya apa yang tertulis di dalam kitab Injl terutaman New Testament, tentang cinta dan kasih sayang sesama manusia.
Mereka amat mendukung kepercayaan mereka bahawa Jesus diturunkan kepada mereka sebagai penyelamat dan tugas mereka adalah menukarkan akidah individu selain Kristian atas tujuan penyelamatan.
BUANG FIKIRAN JUMUD
Apa yang saya ceritakan ini telah 24 tahun berlalu dan sebenarnya tidak banyak beza pun dengan apa yang saya baca dalam Mastika tentang Dr. Mualaf, Zakiah dan Hashim.
Mereka yang bersikap Jumud sewaktu Melisa mahu memeluk agama Islam masih wujud di zaman ini. Masih lagi duduk di kerusi empuk, tidak menjalankan tugas sebagai mubaligh Islam seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
Kerusi empuk mereka, cara mereka bekerja dan sara mereka melayani permasalahan isu murtad dan sebagainya masih seperti dulu. Mereka masih sibuk dengan sembang politik, membaca e-mel tentang politik, bersembang kosong di ofis, yang duduk di bahagian baitulmal hanya sibuk menyuruh mengisi borang, silap gaya, mereka yang datang meminta bantuan, disindir dan sebagainya, akhirnya mereka ke gereja dan menerima bantuan gereja, jika mereka terpesong.
Saya tahu sebabnya. Sebab saya telah melalui dan hidup di dalam kelompok mereka. mereka tidak meminggirkan golongan yang susah tetapi memberi bantuan dan kasih sayang.
Mereka lupa, kerusi empuk mereka itu akan membakar mereka di akhirat nanti. saya kadang-kadang rindukan kumpulan al-Arqam, satu-satunya kumpulan yang boleh masuk keluar kampung menyebarkan Islam dengan wajah penuh manis dan hikmah.
Mereka ini tidak punya gaji dan imbuhan tetapi bergerak semata-mata kerana Allah, yang tidak betul adalah pegangan mereka, tetapi modus operandi mereka menyelamatkan ummah daripada segi ekonomi dan akidah, memang patut dipuji.
Daripada Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam hinggalah budak pejabat, serta pejabat mufti seeloknya diberikan kursus bagaimana cara untuk berdakwah mengikut keikhlasan seperti orang al-Arqam, kerana kumpulan ini komited dan konsisten dalam hal dakwah.
Orang yang berada di pejabat agama, pejabat mufti, jangan sibuk bermesyuarat sahaja, tuan-tuan akan ditaya nanti, mereka yang murtad kerana tidak mendapat bantuan dan didikan daripada saudara-saudara semua, tinggalkanlah bangku empuk saudara-saudari/sahibus samahah kerana bangku itu esok boleh menjadi bahan bakar untuk tuan-tuan kerana gagal menjalankan amanah sebagai pewaris nabi.
Paling menonjol ketika ini dalam mengislamkan saudara baru tanpa kerenah dan " borang-borang bodoh " di pejabat agama adalah Ustaz Kazim Elias, beliau memudahkan cara untuk menyelamatkan jiwa seorang insan untuk menjadi umat Rasulullah s.a.w.
yang benar
Ibnu Kalam
Nota : Perkara ini telah berlaku hampir 24 tahun lalu, malah kini saya sendiri telah menunaikan fardu haji dan mempunyai lima orang cahaya mata yang saya didik supaya dapat membawa setiap seorang daripada mereka, isteri yang terdiri daripada mualaf.
Untuk selamatkan jiwa yang menerima Islam, jangan harapkan sangat pejabat agama, kita perlu melakukannya sendiri atau kita akan ditanya kelak di akhirat hanya krana " sekeping borang bodoh " yang perlu diisi sebelum mengucap dua kalimah syahadah.
ok... habis sudah.. korang dh baca>??? apa pendapat korang... benarkan cerita ini?? atau hanya dongeng semata-mata??
renung2kan dan pikirkan lah...
habis dh idea nk tulis apa.. korang komen2 la yew.. kongsikan pandangan korang plak.. tq...
No comments:
Post a Comment